
KUALA LUMPUR, 28 SEPT 2011: Penyanyi muda, Najwa Latif, 16, yang baru menempa namanya dengan lagu Cinta Muka Buku telah didakwa menghina Tuhan menerusi lirik yang dinyanyikan dalam lagu tersebut.
Semuanya gara-gara karana sebaris lirik dalam lagu itu yang berbunyi: ‘itulah cinta yang satu, cinta di muka buku’ yang ditulis oleh kakaknya, Syafika Latif,22. Di sebabkan sebaris lirik tersebut, Najwa Latif telah dikritik oleh beberapa pihak termasuk pengunjung laman Youtube yang menonton video muziknya. .
Rata-ratanya tidak bersetuju dengan lirik yang dinyanyikan anak kelahiran Batu Pahat Johor ini kerana ia seolah-oleh telah menghina Tuhan dan mereka berpendapat cinta yang satu hanyalah pada Allah bukan kekasih.
Namun, Najwa Latif ketika dihubungi murai.com.my sekeras-kerasnya menepis dakwaan tersebut kerana dia memberitahu lirik yang ditulis itu tidak bermaksud demikian, sebaliknya apa yang cuba disampaikannya itu adalah cinta sesama manusia.
“Pertama sekali terus-terang saya dan kakak memang tiada niat untuk menduakan Tuhan menerusi lirik yang ditulisnya dan dinyanyikan oleh saya itu. Sebagai orang Islam saya tahu cinta yang agung itu hanyalah kepada Allah.
“Tetapi apa yang saya faham, yang dimaksudkan oleh kakak saya dengan lirik tersebut adalah cinta sesama manusia yang kekal hingga ke akhir hayat. Dengan maksud lain, satu-satunya cinta kekasih yang kekal hingga membawa kepada perkahwinan.
“Yelah, lagipun saya pernah dengar banyak kisah orang yang bercinta dan kenal kekasih dalam facebook kekal hingga ke jinjang pelamin.
“Tambahan pula, orang tidak boleh kaitkan lagu ini dengan Tuhan kerana lagu ini pun mengenai cinta muka buku bukan cinta pada Allah. Jadi di situ maksudnya sudah jelas,” katanya yang tidak akan mengambil tindakan untuk menukarkan lirik tersebut.



0 ulasan:
Post a Comment